Sunday, June 15, 2008

Re: Kedudukan Istimewa Orang Melayu

Merujuk kepada beberapa persoalan yang telah dikemukakan di dalam Saka Bangsa, saya ingin mengutarakan pandangan saya dari beberapa perspektif.

Secara keseluruhannya isi kandungan blog adalah berlandaskan kepada Perkara 153, Perlembagaan Persekutuan.

Jika dilihat dari perspektif lain, saya berpandangan bahawa bangkangan Pemuda UMNO adalah tidak berasas sekali kerana ketika kita di ambang sambutan kemerdekaan ke - 51, pemikiran dan kenyataan dari pihak Pemuda UMNO dan kumpulan organisasi bukan tertentu mencerminkan bahawa usaha perpaduan dan menjamu selera pada hari-hari perayaan tertentu hanya merupakan 'wayang kulit' semata-mata.

Melalui pemberian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebanyak 45% kepada penuntut bukan Melayu, kita juga boleh meningkatkan bilangan kakitangan bukan Melayu di dalam sektor awam. saya percaya pada ketika ini peratusan kakitangan bukan Melayu
kini tidak menggambarkan peratusan jumlah penduduk bukan Melayu di Malaysia. Tambahan pula, komposisi kaum kakitangan dalam sektor perkhidmatan awam perlu 'diMalaysiakan'. Secara peribadi saya pernah berurusan dengan jabatan/agensi kerajaan tertentu yang mempunyai lebih 95% kakitangannya ialah Melayu. Akibatnya kantinnya tidak beroperasi semasa bulan Ramadhan.

Saya memahami kegusaran yang bermain di akal fikiran saudara - saudara yang membangkang pemberian biasiswa tersebut. Apakah kedudukan dan hak istimewa akan terganggu gugat melaui pemberian biasiswa ini? Tidak sama sekali. Ini kerana majoriti rakyat Malaysia sejak dulu kini dan selama-selamanya adalah orang Melayu.

Adakah Perancis kehilangan identitinya sebagai negara Barat, Kristian dengan kehadiran kumpulan minoriti terbesarnya yang terdiri dari orang Muslim? Tidak sama sekali.

Bagaimana pula dengan suara - suara lantang dari kumpulan minoriti rakyat Malaysia yang kedengaran pada penghujung tahun lepas? Bagaimana pula dengan penentangan masyarakat Penan di Sarawak berikutan dengan pembukaan hutan? Kes - kes sebegini sebenarnya mencerminkan kegagalan dasar - dasar tertentu untuk menjaga kepentingan kumpulan rakyat Malaysia yang tertentu. Antara isu yang telah dibangkitkan oleh kumpulan Hindraf 5, umpamanya adalah kedudukan istimewa orang Melayu. Sebenarnya perkara ini boleh difahami dari perspektif pusat dan "periphery". Oleh kerana bilangan yang berkurangan dan ditambah pula dengan dasar yang menyokong kumpulan masyarakat majoriti, persoalan -persoalan sebegini timbul meskipun dasar sedemikian dipanggil diskriminasi positif. Isu-isu ini turut berlaku di negara lain tetapi dasarnya adalah berbeza. Umpamanya di negara India, dasar diskriminasi yang pro minoriti memastikan semua kumpulan masyarakat mewakili sektor perkhidmatan awam dan sebagainya. Dengan ini, semua kumpulan masyarakat dapat meningkatkan taraf ekonomi mereka.

Persoalan yang ingin saya lontarkan kepada pihak Pemuda UMNO pula adalah penggunaan terma kedudukan dan hak. Di dalam 'posting' ini secara kata 'kedudukan' telah digunakan. Ini adalah benar kerana rujukan saya mendapati perkataan yang sepatutnya digunakan adalah 'kedudukan'. Namun lipatan sejarah membuktikan perkataan 'hak' digunakan. Hak atau 'rights' dan kedudukan atau ''position' adalah dua perkara yang berbeza sama sekali. Namun peristiwa - peristiwa yang nyaris menjadi titik hitam dalam perkembangan sejarah negara kita jelas menunjukkan bahawa 'hak' dan bukannya 'kedudukan' menjadi pilihan utama.

Dasar Ekonomi Baru turut diketengahkan sebagai hujah untuk membidas langkah yang diambil JPA. Hakikatnya selepas 37 tahun, dasar ini gagal meningkatkan taraf ekonomi rakyat Bumiputra kerana salah guna dalam perlaksanaan dasar tersebut.

4 comments:

Bobby said...

ello bro,

Dah biasiswa naik 45% tak cukup untuk korang senyum sikit ke ?

Cuba hormati risiko yang terpaksa kerajaan hadapi dari bangsa Majoriti tanah Ku ini. Ramai yang tak puas hati.

Bagi saya, saya boleh terima. Tapi saya tak boleh terima orang mengada-ngada nak mintak lebih2.

Tolong ingat apa yang tertera dalam Hindraf. Antaranya adalah fitnah pembunuhan etnik. Saya tahu dengan PASTI ini adalah untuk menarik perhatian antarabangsa demi memburukkan bangsa Ku.

Sekali lagi saya ingin menyatakan bahawa SABAR ADA TAHAP NYA !!!

Bobby said...
This comment has been removed by a blog administrator.
T H E . M A L A Y . P R E S S said...

Saya yakin anda berfikiran terbuka untuk memaham sejarah sebenar.

Sila lihat sini untuk mendapat perspektif berbeza:

http://themalaypress.blogspot.com/2008/05/perutusan-merdeka.html

Pragalath said...

Saudara Bobby, saya melihat perkara ini dari perspektif seorang anak watan yang mencintai tanahairku.

Saya sedar perihal dakwaan Hindraf yang keterlaluan itu. Fitnah yang diperkatakan tidak sekali-kali saya terima.

Terima kasih saya ucapkan kepada saudara Herman atas kesudian beliau bertukar pandangan mengenai perkara ini.